HANTAR ARTIKEL: Laman web ini dikendalikan dan dimiliki semua rakyat Malaysia. Justeru, sesiapa juga boleh menghantar bahan dalam bentuk analisis, artikel, berita, maklumat, pendapat dan sebagainya. Emailkan kepada nurmarhaen@gmail.com I TERKINI: Sila 'refresh' untuk melihat berita terkini dari semasa ke semasa.

Biar rakyat 'mati kelaparan', asalkan...

Friday, September 26, 2008

(Analisis) Semalam, laman blog ini (http://nurmarhaen.blogspot.com/) membuat analisis mengenai perkembangan mutakhir ekonomi negara dan sikap serta keutamaan pucuk pimpinan tanahair terhadap krisis yang semakin parah itu.

(Teks penuh analisis berkenaan boleh dibaca di sini).

Dalam analisis itu, laman blog terbabit menyifatkan pemimpin negara lebih mengutamakan survival politik mereka berbanding kedudukan ekonomi dan beban yang mungkin ditanggung rakyat akibat krisis yang semakin parah.

Berdasarkan perkembangan semasa, antara lain, analisis itu menyimpullkan:

"...sehingga hari ini pemimpin kerajaan di Malaysia masih banyak menumpukan masa di atas 'papan catur politik'. Perkiraan tempoh peralihan kuasa pemimpin Umno masih menjadi agenda utama."

Dan hari ini, pemimpin veteran Umno sendiri membangkitkan perkara sama. Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan media sebagai berkata:

"Kerjaya politik mereka (Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) kelihatan lebih penting daripada masa depan negara ini."

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga dilaporkan mendakwa, kedua-dua pemimpin negara itu terlalu ghairah dengan perebutan kuasa sehingga mengabaikan aspek perundangan dan kerosakan yang ditimbulkan mereka ke atas negara ini.

Sambil menyifatkan kedua-duanya telah menjadikan Malaysia sebagai 'bahan lawak' masyarakat antarabangsa, sekali gus menjadikan negara ini 'republik pisang' (banana republic), Tengku Razaleigh berkata:

"Bukannya (mereka) menumpukan pada perancangan ekonomi negara atau sebarang reformasi, sebaliknya apa yang kepemimpinan Umno berikan kepada kita sejak (pilihanraya umum) 8 Mac hanyalah pelan peralihan kuasa yang direka untuk menyelamatkan dua orang daripada serba salah menghadapi pemilihan (Umno).

Republik pisang adalah istilah sindiran yang asalnya merujuk kepada perkembangan di Amerikan Latin, iaitu negara yang kurang stabil dan mundur dikuasai segelintir elit korup, kaya dan pentingkan diri sendiri.

Tengku Razaleigh memberi reaksi demikian berikutan keputusan penuh teka-teki Majlis Tertinggi (MT) Umno pagi ini yang secara tiba-tiba memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung parti itu ke tahun depan.

Beliau juga menyifatkan pelan peralihan kuasa terbaru di antara dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai "permainan budak-budak yang tidak habis-habis berebut barang kau dan aku".

Sementara itu, dalam nada hampir sama, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilaporkan menyifatkan Abdullah dan Mohd Najib terlalu mempedulikan "masa depan politik Abdullah dan ketua-ketua juak Umno, yang tidak mempunyai masa atau idea memikirkan pelbagai krisis keyakinan yang dihadapi negara ini sejak 8 Mac lalu.

Dengan perkembangan terbaru itu, tidak mustahil benarlah anggapan banyak pihak, terutama pakatan pembangkang bahawa pemerintah sekarang lebih sanggup membiarkan rakyat 'mati kelaparan' asalkan survival politik mereka tetap terjamin dan mampu dipertahankan. http://nurmarhaen.blogspot.com/

Read More...

Ekonomi makin parah: Pemimpin buat apa?

Thursday, September 25, 2008

(Analisis) Di Amerika Syarikat hari ini, Presidennya, George Bush memberi amaran kepada rakyatnya bahawa 'seluruh ekonomi negara itu kini berada dalam bahaya'.

Bush sengaja mengambil ruang waktu puncak untuk memberi amaran kepada rakyatnya bahawa 'kemelesetan panjang dan menyakitkan' akan berlaku jika Kongres tidak mengambil tindakan cepat.

Beliau juga sudah memanggil kedua-dua calon presiden dari Demokrat dan Republikan - Senator Barack Obama dan Senator John McCain - untuk duduk semeja berbincang bagaimana mendepani dan mengatasi krisis ekonomi itu.

Bush juga merayu rakyatnya menyokong pelan menyelamat (bailout) bernilai RM700 bilion bagi membetulkan semula ekonomi negara itu sambil berjanji untuk benar-benar mengawal bagaimana wang berkenaan digunakan.

Kini ekonomi Amerika Syarikat benar-benar memasuki fasa awal parah. Malah 10 bank di negara itu sedang berdepan dengan masalah kewangan serius - runtuh.

Itu situasi di Amerika Syarikat - kerajaannya cuba sedaya mungkin untuk bertanggungjawab dan menyelamatkan rakyat pembayar cukai. Bagaimana di negara kita - Malaysia?

Sudah tentu tempias ekonomi Amerika Syarikat akan terkena pada ekonomi negara lain, terutama disebabkan pergantungan transaksi menggunakan dolar.

Dan langkah perlu serta berkesan mesti diambil segera bagi mengelak kesan berganda terhadap ekonomi negara penerima.

Namun apa yang pasti, sehingga hari ini pemimpin kerajaan di Malaysia masih banyak menumpukan masa di atas 'papan catur politik'. Perkiraan tempoh peralihan kuasa pemimpin Umno masih menjadi agenda utama. Malah, menurut laporan mutakhir, satu mesyuarat khas Umno dijadual diadakan esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) antara lain mungkin ada kena mengena dengan pelan peralihan kuasa itu.

Kecuali tindakan memindahkan beban pengurusan dan kebertanggungjawaban daripada bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Menteri Kewangan baru, Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak banyak langkah berfungsi dapat dilihat sedang atau sudah diambil untuk memungkinkan pembetulan atau setidak-tidaknya memperlahankan kesan kemelesetan ekonomi dan kewangan negara.

Dan ketika ekonomi Malaysia dipercayai semakin parah, pemimpin dan media pro kerajaan terus mencari dan menyelongkar mana-mana angka yang dapat menunjukkan arah aliran menaik - tidak kira apa juga angka, asalkan ia dapat memberi gambaran bahawa ekonomi Malaysia masih 'ok' dan kononnya 'tidak seburuk digembar-gemburkan'.

Pemimpin dan media pro kerajaan masih terkial-kial cuba untuk memberi gambaran kononnya Malaysia masih lokasi pilihan pelabur sedangkan diura-urakan bahawa nilai pelaburan di Bursa Saham Kuala Lumpur sendiri sudah susut lebih RM100 bilion.

Malah angka lain mendakwa kira-kira RM125 bilion sudah ditarik keluar oleh pelabur dari negara ini kerana tidak yakin dengan program pembaharuan yang diharapkan dibuat pemerintah.

Selain itu, angka peningkatan kadar inflasi, sedapat mungkin cuba disembunyikan atau dikelirukan. Malah makna inflasi itu sendiri, dalam keadaan tertentu, cuba diputarbelitkan sedangkan ada perkiraan ahli ekonomi bahawa setakat hari ini, kadar inflasi di Malaysia adalah terburuk dalam tempoh 27 tahun.

Memang menurut angka rasmi, kadar inflasi negara ini sudah melonjak ke paras 8.5 peratus pada Ogos lalu, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 27 tahun. Ini ada kena mengena dengan peningkatan harga makanan dan bahan api.

Dan ketika kerajaan negara maju seperti Amerika Syarikat sedang menghimpunkan pemimpinnya tanpa mengira parti yang dianggotai, pemerintah di Malaysia masih menunding jari kepada pihak lain, terutama pembangkang kononnya sebagai penyebab dan pengacau ekonomi.

Pemimpin pembangkang, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba disalahkan kononnya punca ekonomi merudum dan pelabur lari sedangkan pelabur sendiri dilaporkan memberi reaksi sebaliknya, iaitu mereka tidak yakin dengan pemerintah Malaysia sekarang; bukan mereka tidak yakin atau terganggu dengan peranan pembangkang!

Kemudian muncul pula beberapa kerat individu pencacai atas nama badan bertindak atau badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis mendesak pemimpin pembangkang berkenaan ditangkap atas alasan menjadi pengacau ekonomi negara.

Isunya ialah, apa yang menjadi keutamaan pemimpin negara sekarang? Mana lebih diutamakan mereka - kesejahteraan ekonomi rakyat atau kesejahteraan politik peribadi? Dengan kata lain, mana lebih diutamakan di antara rasa lapar marhaen tanpa pendapatan tetap dan survival politik pemimpin tertentu? http://nurmarhaen.blogspot.com/

Read More...

Blogger Kickdefella bebas

Saturday, September 20, 2008

(Berita) Blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz (kickdefella) dibebaskan hari ini selepas ditahan polis untuk siasatan selama dua hari.

Sebaik dibebaskan, beliau memberi keterangan pula kepada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau disambut ahli keluarga dan rakan sebaik keluar dari pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID), kira-kira jam 4 petang ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan beliau direman sehingga 5 petang ini.

Syed Azidi, 38, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu mengikut Akta Hasutan pada 17 September.

Read More...

Teresa bebas daripada ISA

Thursday, September 18, 2008

(Berita) Exco Selangor, Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tengah hari ini selepas disiasat kira-kira seminggu.

Beliau dibebaskan di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 tengah hari ini.

Ahli politik berusia 44 tahun itu dilihat keluar dari balai berkenaan bersama ibubapanya dan peguam, Sankara Nair serta pembantu, Mandy Ooi setelah berada di situ kira-kira 40 minit untuk urusan pembebasan.

Read More...

Tangkap blogger: Apa nasib ikan keli nanti...

Wednesday, September 17, 2008

Jika anda mahu menjadi pencari ikan keli, anda mesti bersedia disengat, setidak-tidaknya sekali. Begitu juga jika anda mahu menjadi blogger di Malaysia (saya ulang: di Malaysia), anda mesti bersedia ditahan polis, juga setidak-tidaknya sekali.

Itu hakikat yang mungkin terpaksa ditelan oleh semua blogger di negara ini, terutama yang tidak condong kepada pemerintah.

Namun ini bukan bermakna tindakan pemerintah mengarahkan polis menahan beberapa blogger setakat ini, boleh dirasionalkan begitu sahaja.

Paling terbaru ialah penahanan blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (kickdefella.wordpress.com) di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan, petang semalam.

Lebih mengharukan ialah beliau dilaporkan ditahan ketika hampir masuk waktu berbuka puasa, iaitu kira-kira jam 5 petang. Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak dan isterinya yang sedang bersiap untuk berbuka puasa bersama Syed Azidi, tetapi tiba-tiba beliau 'direnggut dan dibawa pergi'.

Pemerintah mesti ada jawapan yang konkrit - untuk dirasionalkan kepada rakyat dan dunia. Pada mata dunia, apa juga jenis tindakan yang boleh dianggap menghalang aliran maklumat di kalangan rakyat, terutama menerusi internet, akan ditafsirkan sebagai negatif.

Justeru, pemerintah mesti bukan sahaja mendakwa kuat dan diterima rakyat, ia mesti dilihat 'benar-benar mantap dan mendapat sokongan kejap lagi padat'.

Pemerintah yang kuat dan benar-benar diterima rakyat, tidak akan takut terhadap sebarang bentuk kritikan dan asakan.

Saya ulang: Pemerintah mesti ada jawapan yang konkrit - untuk dirasionalkan kepada rakyat dan dunia.

Jika tidak, sebagaimana analogi ikan keli tadi, selepas ia menyengat ikan itu biasanya berjaya ditangkap. Apabila berjaya ditangkap, sengatnya dipatah-patahkan dan ikan keli itu akan digoreng di dalam kuali dengan kepanasan maksimum atau dibakar lalu dicicah dengan 'ayaq (air) asam'. - http://nurmarhaen.blogspot.com/

Read More...

Anwar mungkin kena ISA?

Pemerintah sepatutnya sudah serik dan malu dengan pelbagai bantahan berhubung penggunaan akta zalim - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - terhadap tiga individu, baru-baru ini.

Ia dibantah bukan sahaja pakatan pembangkang dan kerajaan Amerika Syarikat, malah sukut sakat pemerintah sendiri, termasuk dalam Kabinet, Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tetapi demi mengekalkan kuasa, tidak mustahil pemerintah akan mengabaikan semua itu. Dalam sidang akhbar tengah hari tadi bagi mengumumkan pengambilalihan jawatan menteri pertahahan daripada Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri sudah memberi justifikasi baru terhadap kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "satu ancaman kepada ekonomi serta keselamatan (negara)".

Biasanya, sebelum seseorang ditahan mengikut ISA, penguasa akan memberi justifikasi tertentu kepada umum, walaupun ia mungkin hanya satu rekaan.

Bagaimanapun, kebarangkalian dikenakan ISA tidak dijawab oleh Abdullah secara jelas. Apabila ditanya wartawan apakah tindakan yang bakal beliau ambil terhadap Anwar, Perdana Menteri dilaporkan berkata:
"Saya tidak akan nyatakan apa rancangan yang saya ada."

Ditanya lagi, beliau berkata, apapun tindakannya, ia dibuat dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Walaupun jawapan itu dilunakkan dan disandarkan kononnya 'dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat', ISA mungkin akan mengganas lagi.

Dan kali ini tidak mustahil Anwar adalah mangsa undang-undang tidak bertamadun itu.

(Anwar pernah ditahan ISA ketika era perjuangan mahasiswa).

Pemerintah sudah tentu tidak gusar dengan bantahan rakyat jika pun Anwar ditahan mengikut ISA kerana ketika itu ketua pembangkang sudah 'berada di dalam'.

Mungkin pada firasat pemerintah: jeritlah, pekiklah dan bantahlah semahu mana sekali pun, apa yang penting Anwar sudah 'berada di dalam' dan tokoh pembangkang itu sudah tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengganggu gugat kerajaan yang ada. - http://nurmarhaen.blogspot.com

Read More...

"Kenapa tiba-tiba nak jadi Menteri Pertahanan ni?"

Saya baru sahaja menerima pertanyaan dari seorang sahabat di laman chatting. Saya mahu perkenalkan sahabat itu sebagai Amir ABV sahaja. Pertanyaan beliau ialah:
"Paklah ambik alih jawatan Menteri Pertahanan. Najib ambik Menteri Kewangan. Apa komen?"

Ketika soalan itu diajukan, saya tidak berada di depan komputer, Jadi, saya memilih untuk menjawab soalan itu di sini sebab ia bukan membabitkan Amir ABV semata-mata, malah menyangkut soal negara.

Sebenarnya, sebaik membaca berita pengumuman Pak Lah mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan, saya sudah bertanya sendirian:
"Hey, kenapa tiba-tiba nak jadi Menteri Pertahanan ni?".

Maksudnya, dalam situasi sekarang apabila Pakatan Rakyat (PR) dikatakan bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara, apa pentingnya jawatan Menteri Pertahahan kepada orang bernama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Pertanyaan ini lagi membuak apabila di tengah-tengah kekalutan fikiran sedemikian, saya menerima pula berita SAPP mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN).

Terdahulu itu, saya menerima berita keruntuhan saham di Bursa Kuala Lumpur. (Dan beban ekonomi itu serta merta dipindahkan ke bahu Najib seperti diumumkan pada dalam sidang akhbar Pak Lah, tengah hari tadi).

Pada masa sama, saya cuba mencongak niat Pak Lah apabila pada sidang akhbar sama, beliau menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "satu ancaman kepada ekonomi serta keselamatan (negara)".

Biasanya, sebelum seseorang ditahan mengikut ISA, penguasa akan memberi justifikasi tertentu kepada umum, walaupun ia mungkin hanya satu rekaan.

Bagaimanapun, kebarangkalian dikenakan ISA tidak dijawab oleh Pak Lah secara jelas. Apabila ditanya wartawan apakah tindakan yang bakal beliau ambil terhadap Anwar, Pak Lah dilaporkan berkata:
"Saya tidak akan nyatakan apa rancangan yang saya ada."

Dan sudah tentu Pak Lah juga tidak akan mendedahkan apa rancangannya apabila mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib.

Cuma apa yang dibimbangi pembangkang, termasuk Anwar sendiri, ialah kemungkinan penggunaan kuasa tentera atau mengumumkan darurat sebagai langkah terdesak jika pakatan pembangkang benar-benar hampir mengambl alih tampuk pemerintahan. - http://nurmarhaen.blogspot.com

Read More...

Pak Lah ambil alih Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan mengambil alih jawatan menteri pertahanan daripada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Serentak itu, beliau melepaskan jawatan menteri kewangan dan menyerahkannya kepada Najib.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri Najib tengah hari ini, Abdullah berkata, pertukaran portfolio itu berkuatkuasa serta merta.

Perdana Menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau sudah pun memaklumkan kepada Kabinet mengenai keputusannya.

Menurut beliau, portfolio kewangan adalah penting dalam mengambil kira situasi ekonomi semasa dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya, beliau yakin Najib akan dapat melaksanakan peranan yang amat penting itu, terutama dalam memastikan ekonomi teguh dan kuat menghadapi cabaran.

Kedua-duanya juga mengesahkan komitmen mereka untuk berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Bagaimanapun, kata Abdullah, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

Read More...

Anwar branded a hypocrite on ISA

Monday, September 15, 2008

KOTA BARU: The sole Independent MP Datuk Paduka Ibrahim Ali has called on PKR de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim to stop being a hypocrite with regard to the Internal Security Act (ISA).

When Anwar was a federal minister in 1987, he defended the Government’s move to use ISA in “Ops Lalang,” Ibrahim said.

“But now, Anwar is asking for Selangor senior state exco member Teresa Kok to be released.

“How ironic. When I was among those detained under Ops Lalang, Anwar kept quiet,” he added,

On a new Federal Government being formed come Sept 16 or even later, Ibrahim said he fully supported it if PAS led the initiative to do so.

He added that PAS should nominate one of its leaders to become the new prime minister.

“I am neither supporting Barisan nor PKR but I would support PAS because they are a strategic ally,” said the outspoken MP, adding that he could not support a PKR initiative led by Anwar.

“I cannot accept Anwar because of the hypocrisy of his politics,” said Ibrahim. - thestar.com.my

Read More...

Anwar hipokrit?

Sekali lagi Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali yang cukup kontroversi, bersuara. Kali ini komennya mengenai Pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika benarlah berita bertajuk
'Anwar branded a hypocrite on ISA' seperti dilaporkan The Star hari ini dan dengan andaian ia tidak disalah petik (misquote) oleh wartawan terbabit, berita itu boleh diterjemahkan sebagai berikut:


"KOTA BARU: Ahli Parlimen bebas,
Datuk Paduka Ibrahim Ali meminta pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti bersikap hipokrit berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, ketika Anwar menjadi menteri pusat pada 1987, beliau mempertahankan tindakan kerajaan menggunakan ISA dalam 'Operasi Lalang'.

“Tetapi sekarang, Anwar meminta Exco Selangor, Theresa Kok dibebaskan.

"(Lihatlah) betapa ironiknya. Apabila saya antara mereka yang ditahan di bawah Ops Lalang, Anwar membisu.

"Saya tidak dapat menerima Anwar kerana (beliau) hipokrit dalam politik," kata Ibrahim."

Untuk berita penuh versi bahasa Inggeris, sila baca di sini

Benarkah Anwar hipokrit atau ia sebahagian daripada kerangka helah dan strategi dalam perjuangan politik?

Sebaliknya, tidakkah tindakan Ibrahim sendiri boleh juga dipersoalkan? Tidakkah tindakan Ibrahim 'ke sana ke mari' (lompat parti) boleh turut ditafsirkan ada unsur hipokrit?

Memandangkan Ibrahim dan Anwar adalah 'rakan sepermainan' sejak zaman perjuangan mahasiswa dulu, mungkin juga akan ada pihak mengandaikan bahawa 'ada perkara belum selesai' di antara kedua-duanya sehingga menyebabkan nampak sangat Ibrahim banyak tidak bersetuju dengan Anwar.

Tetapi itu semua hanya andaian yang belum tentu sahih. Dan penulis tidak bertujuan memanjangkan sendiri analisis ini, sebaliknya mengajak semua pembaca atau pelayar laman web ini untuk sama-sama memberi komen berhubung persoalan 'Anwar hipokrit' ini.

Penulis tidak bertujuan membicarakan Anwar di ruang siber, tetapi memandangkan beliau disebut-sebut bakal Perdana Menteri, elok juga kita sebagai rakyat mengambil sedikit ruang untuk menyatakan pandangan membahaskan perkara ini secara objektif, adil, bebas emosi, bebas fitnah dan tiada elemen 'mengada-ngada benda yang tidak ada'.

Sebaliknya, berikan komen anda (pro atau kontra) berserta hujah atau alasan yang benar serta munasabah.

Perbincangan dan pendapat juga tidak tertakluk kepada ISA sahaja, malah aspek lain juga membabitkan Anwar.

Jernihkan pemikiran ketika membuat komen atau ulasan agar kita mendapat seorang pemimpin yang benar-benar berfaedah kepada rakyat.

Anwar sendiri atau pejabatnya atau wakil sah beliau juga dialu-alukan membuat penjelasan balas terhadap mana-mana komen atau ulasan berhubung 'Anwar hipokrit'. - http://nurmarhaen.blogspot.com





Read More...

"Pak Lah, dah lah"

Tinjaulah dari sudut mana sekali pun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno yang paling tidak dipersetujui paling ramai orang.

Beliau bukan sahaja tidak dipersetujui pakatan pembangkang, malah suku-sakatnya sendiri dalam Kabinet, Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Paling terbaru ialah membabitkan isu penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), iaitu Raja Petra Kamaruddin (penulis blog Malaysia Today), Theresa Kok (Exco Selangor) dan Tan Hoon Cheng (wartawan Sin Chew Daily). Tan kemudiannya dibebaskan.

Tindakan penahanan itu tidak dipersetujui anggota Kabinetnya sendiri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membantah penggunaan ISA. Kemuncaknya, petang ini Zaid dikatakan menyerahkan surat peletakan jawatan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik, dalam nada berlapik, turut meminta polis memberi penjelasan mengapa wartawan berkenaan ditahan.

MIC menerusi Presidennya, Datuk Seri Samy Vellu juga meminta wartawan sama dibebaskan.

MCA pula menerusi Naib Presidennya, Datuk Ong Tee Keat mempertikaikan penahanan wartawan berkenaan.

Selain itu, Pak Lah tidak dipersetujui Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri dalam isu peralihan kuasa pucuk pimpinan parti itu.

Pada masa sama, Pak Lah turut tidak dipersetujui bekas bossnya - Tun Dr Mahathir Mohamad - dalam banyak hal.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln menyifatkan bahawa jika seseorang pemimpin tidak dipersetujui suku rakyatnya, itu adalah normal. Tetapi adakah Pak Lah tidak dipersetujui sekadar suku daripada rakyatnya atau lebih daripada itu?

Sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, menerima tentangan dari dalam parti dan Kabinet sendiri adalah amat jarang berlaku. Ia menyanggahi hukum dan tradisi Umno dan BN serta Kabinet.

Persoalannya, apa lagi yang mahu dikejar oleh Pak Lah? Terjumpakah beliau 'damai abadi' sebagaimana diungkapkan di dalam puisinya "Kucari Damai Abadi". Damaikah Pak Lah jika beliau diserang dan tidak dipersetujui dari segenap penjuru?

Berdasarkan itu, sebagai warga sah, penulis mahu membuat 'appeal' dan menyudahkan tulisan ini dengan pantun dua kerat - "Pak Lah, dah lah". - www.nurmarhaen.blogspot.com

Read More...

Pojok: Semua rakyat Malaysia bodoh?

Saturday, September 13, 2008

Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh "boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam".

Tetapi selepas membebaskan wartawan berkenaan hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata polis menahan wartawan itu kerana keselamatannya (Tan) terancam.

Pada zaman pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang banyak benda pelik berlaku di Malaysia.

Apa tidak peliknya - jika keselamatan anda didapati terancam, polis akan menahan anda (di bawah ISA !).

Nak tergelak pun ada. Geram pun ada. Bukan apa. Sebab depa ingat semua rakyat Malaysia bodoh.

Anda boleh tipu beberapa orang, tetapi tidak semua orang. Anda boleh tipu orang sekali atau dua kali, tetapi tidak berkali-kali.

Jika anda cuba menipu semua orang dan berkali-kali, anda bukan sahaja akan gagal, malah anda pula akan dilihat sebagai 'bodoh' - nurmarhaen.

Read More...

ISA: Di mana terjejasnya keselamatan negara?

Tiga warga sah Malaysia, iaitu Raja Petra Kamaruddin (penulis blog Malaysia Today), Theresa Kok (Exco Selangor) dan Tan Hoon Cheng (wartawan Sin Chew Daily) ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

(Ketika analisis ini dikemaskini, Tan sudah dibebaskan).

Alasan yang dimomokkan oleh pemerintah ialah kononnya mereka "boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam".
Mengenai penahanan Raja Petra, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata penahanan itu berikutan pelbagai kenyataan oleh Raja Petra dalam laman blognya, termasuk terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad saw.

Faktanya ialah semua itu tuduhan. Dan tuduhan tidak semestinya benar sehingga ia dibuktikan sebagai benar. Malangnya, dalam konteks ISA, soal benar atau tidak semua tuduhan tidak berbangkit sama sekali. Ini kerana akta itu tidak membabitkan sebarang bentuk perbicaraan - suatu keadaan yang melampaui hukum Tuhan kerana undang-undang Allah swt sendiri pun ada perbicaraan.

Beberapa kedangkalan dalam penggunaan ISA menjadi penyebab bagi banyak pihak, termasuk di peringkat antarabangsa, membantah penahanan itu. Selain Pakatan Rakyat, parti komponen pemerintah turut membantah. MIC menerusi Presidennya, Datuk Seri Samy Vellu meminta wartawan Sin Chew Daily dibebaslkan.

MCA pula menerusi Naib Presidennya, Datuk Ong Tee Keat, melahirkan rasa amat terkejut. Katanya, parti itu terkejut kerana orang yang ditahan ialah wartawan membuat liputan sedangkan individu yang mengeluarkan kenyataan didakwa mengandungi unsur perkauman, iaitu Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail, bebas.

Seperti dilaporkan the Star, Ong berkata, sesiapa juga yang mempunyai pemikiran waras akan mempertikaikan hal ini, kerana penahanan ditujukan kepada wartawan, bukan individu yang dikatakan menimbulkan masalah.

Di luar negara, Amerika Syarikat turut membantah penahanan itu. Pegawai Kedutaan Malaysia di negara itu, Ilango Karuppannan, dipanggil bagi memberi penjelasan.

Menurut laporan AFP, bagi Amerika, kerajaan Malaysia perlu menyediakan layanan dan proses sewajarnya, yang konsisten dengan undang-undang Malaysia dan standard antarabangsa.

Dalam hal ini, ada beberapa persoalan yang perlu dijawab pemerintah. Pertama, jika benar ketiga-tiga individu itu mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam, mengapa mereka tidak dakwa di mahkamah?

Jika benar Raja Petra menghina Islam dan Nabi Muhammad saw, mengapa tidak dakwa beliau di mahkamah? Mengapa pula Ahmad tidak ditahan sedangkan wartawan berkenaan ditahan?

Mengapa ramai lagi individu lain pernah menghina Islam, termasuk pemimpin Umno sendiri yang mempermainkan dan memperlekehkan undang-undang Islam, tidak ditahan sama. Mengapa?

Mungkin benarlah seperti kata Ketua Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Anifah Ahmad, bahawa yang gawat dan kalut sekarang bukan soal peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat seperti dijangka pada 16 September ini, tetapi kegawatan dan kekalutan itu adalah pada Umno sendiri.

Seperti kata Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, bahawa penahanan mengikut ISA itu tidak lebih sebagai satu percubaan pemerintah untuk menggagalkan pengambilalihan tampuk pemerintahan negara oleh Pakatan Rakyat. Malah menurut beliau, penahanan itu juga adalah percubaan untuk menutup pelbagai krisis politik Umno dan kelemahan pentadbiran kerajaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pula kesal kerana penahanan itu dikaitkan kononnya ada hubungan dengan keselamatan dan ketenteraman awam. Beliau secara tegas menafikan, malah mempertikaikan wujudnya sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama di negara ini sekarang sebagaimana didakwa pemerintah.

Sebab itulah ramai beranggapan ISA mungkin sesuai untuk membendung kegawatan dan kekalutan Umno agar tidak lebih parah atau mungkin terus hancur, tetapi akta ini ternyata tidak sesuai dengan tamadun manusia. - nurmarhaen.blogspot.com

Read More...

Berita: Mengapa hanya Melayu perlu mohon maaf? - Dr Mahathir

Saturday, September 06, 2008

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa apabila orang Melayu sekarang sering didesak meminta maaf dan dilabelkan sebagai perkauman (racist).

Kekecewaan beliau itu diluahkan menerusi blognya, chedet.com akibat daripada sikap kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri sibuk memohon maaf kepada orang Cina dan India kerana apa yang dikatakan kata-kata yang dianggap sebagai terlalu perkauman yang telah disebut oleh beberapa pemimpin Melayu.

Beliau turut menyelar sikap orang Melayu sekarang yang dikatakan amat takut jika mereka diberi label "racist".

Orang Melayu, kata Dr Mahathir, sanggup menulis dalam akhbar bahawa mereka bukan racist semata-mata kerana tidak mahu dilabel sebagai racist.

"Demikianlah ketakutan mereka sehingga apabila hak mereka di buruk-burukan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri mereka," kata beliau.

Lebih mengecewakan lagi kata beliau, bila permohonan maaf secara terbuka Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi ditolak oleh pemimpin-pemimpin kaum berkenaan dan menuntut agar individu yang dilabelkan perkauman memohon maaf.

Beliau juga menganggap tindakan Kerajaan menghantar seorang Menteri untuk minta maaf daripada Kerajaan China kerana kononnya wanita rakyat negara tersebut telah ditelanjang oleh polis dan direkod dalam video sebagai antara peristiwa yang memalukan.

Beliau menegaskan jika orang bukan Melayu mengeluar perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menununtut supaya pihak berkuasa memohon maaf.

Dr Mahathir juga mempersoalkan memo Hindraf dan perbuatan Wee Meng Chee yang memperlekehkan Negaraku dengan mengguna melodi lagu kebangsaan itu tetapi lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan sebagai sesuatu yang bukan hanya bersifat perkauman tetapi juga bernada hasutan.

Beliau mempersoalkan apakah Wee dan pemimpin Hindraf dikehendaki memohon maaf atas apa yang telah mereka lakukan.

"Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat," kata beliau lagi.

Dr Mahathir turut mempersoalkan sikap kerajaan yang dianggap berat sebelah, menyembunyi kata-kata racist Hindraf tetapi melapor dengan meluas apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu.

"Kenapakah Menteri keturunan India atau ketua-ketua kaum India tidak dikehendaki memohon maaf?" soal beliau.

Beliau secara peribadi berpendapat amatlah tidak adil jika satu pihak mendapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh membuka mulut.

Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa apa yang beliau perkatakan itu bukanlah bermaksud mahu mempertahankan Ketua Umno Bukit Bendera Dato' Ahmad Ismail malah beliau turut tidak bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi hanya meluahkan rasa kecewanya terhadap keupayaan pemimpin Melayu hari ini menguruskan soal kaum di negara ini. - Irwan Muhammad Zain / Harakah Daily

Read More...

Berita: Kerajaan Pulau Pinang tubuh sekolah agama sendiri

Thursday, September 04, 2008

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri itu bercadang menubuhkan sekolah agama rakyat (SAR) sendiri tidak lama lagi di kawasan yang akan dimaklumkan kemudian.

"Kerajaan negeri sedang merancang untuk menubuhkan SAR sendiri tidak lama lagi, namun tempat, berapa buah dan peruntukan akan diberitahu kelak, " katanya.

Bercakap ketika majlis berbuka puasa bersama pemimpin Pas Pulau Pinang di Restoran Kassim Mustaffa di Seberang Jaya, semalam, beliau menjelaskan semua cadangan itu akan diuruskan Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat, Mohamad Fairus Khairudin.

Guang Eng berharap Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman bekerjasama dengan Mohamad Fairus bagi membincangkan penubuhan sekolah berkenaan dan membantu merealisasikan perancangan terbabit.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengembalikan peruntukan kepada SAR yang telah dibatalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Peruntukan itu amat wajar untuk menghidupkan pergerakan persekolahan agama bagi generasi Islam," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bukan seperti BN yang sanggup menghukum SAR kerana percaya kononnya sokongan yang berkurangan terhadap parti pemerintah ada kena mengena dengan kewujudan sekolah jenis berkenaan.

Read More...

(Berita) DAP tolak permohonan maaf Najib

Tuesday, September 02, 2008

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menganggap permohonan maaf Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pihak ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang telah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang Cina, tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima.

Beliau memberikan lima sebab mengapa permohonan maaf itu tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima.

Pertama, katanya, Ahmad sendiri tidak memohon maaf dan tidak pun menunjukkan kekesalannya kerana membuat kenyataan tersebut sejak sembilan hari yang lalu.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Ahmad bersikap demikian kerana penuh yakin yang beliau mendapat sokongan pemimpin dan ahli arus perdana Umno,

Oleh itu, Lim bertanya sama ada permohonan maaf Najib boleh diterima sedangkan Ahmad sendiri masih berdegil dan tidak kesal dengan perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.

"Walaupun jika Ahmad memohon maaf, akan timbul persoalannya sama ada ianya memadai, memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap ‘Negaraku', kabinet telah menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan.

Oleh itu, Lim mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib itu bermaksud sebagai satu mesej kepada pihak polis dan Peguam Negara supaya jangan mengambil tindakan terhadap Ahmad.

Menurutnya, Najib seharusnya memohon maaf bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak Ahmad , kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang pada 24 Ogos lalu, yang turut dihadiri Najib.

Read More...

Berita: Umno minta maaf kenyataan ketua bahagian

KUALA LUMPUR: Umno, tunggak kerajaan Barisan Nasional, mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, bulan lalu.

“Kami berharap orang bukan Melayu tidak terlalu terganggu dengan kenyataan itu dan kami meminta maaf jika ia telah menyentuh sensiviti atau menimbulkan rasa kurang senang berhubung kenyataan itu.

“Kami minta maaf, Umno meminta maaf walaupun ia bukan kenyataan kami tetapi kenyataan itu telah dibuat oleh seorang daripada ketua bahagian kami. Ia tidak wajar dan tidak mencerminkan pendirian dan sikap Umno atau kepemimpinan Umno. Kami benar-benar kesal dengan perkara itu,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Timbalan Presiden Umno di sini hari ini.

Menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad Ismail pada satu ceramah didakwa berkata, masyarakat Cina hanyalah kaum pendatang di negara ini dan dengan itu tidak berhak diberikan hak sama rata di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan Multi Purpose Chery, Najib berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuaratnya akan datang akan memutuskan 'tindakan sesuai' yang akan diambil terhadap ketua bahagian itu.

“Kenyataan itu adalah kenyataan dia secara perbadi dan tidak merupakan pendirian umno dan kerajaan. Kita tidak menganggap warganegara Malaysia keturunan Cina, India dan lain-lain sebagai penumpang.

“Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sepenuhnya dan kita akan tetap menjaga kepentingan mereka dan maruah mereka dan saya sifatkan kenyataan itu sebagai satu yang amat dikesali oleh Umno dan kerajaan,” katanya. - Bernama

Read More...

Analisis: 16 September tidak mustahil

PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik yang dihubungi beranggapan tidak mustahil untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk kerajaan Persekutuan yang baru menjelang 16 September ini.

Menurut pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein dalam politik tidak ada apa yang mustahil.

Ketika ditanya adakah beliau yakin dengan usaha Anwar itu, beliau berkata:

“Tiada istilah mustahil dalam politik. Mungkin juga apa yang diperkatakan Anwar itu menjadi kenyataan. Namun semuanya bergantung kepada keadaan politik semasa.”

Jelasnya, perkara lompat parti itu mungkin mampun menjadi kenyataan kerana ahli politik adalah manusia dan mereka mempunyai pilihan untuk mencari yang terbaik.

“Kita kena ingat ahli politik ini manusia bukannya benda yang tidak punya keinginan untuk mendapat perkara yang terbaik,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Sementara itu, menurut pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku walaupun beliau ragu-ragu mengenai kemungkinannya.

“Ia tidak mustahil... mungkin faktor masa akan menentukan sama ada ia benar-benar terjadi atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, isu lompat parti ini bergantung kepada keadaan politik semasa dan jika benar ia terjadi rakyat perlu bersedia meneriman perubahan.

“Mungkin Barisan Nasional hanya akan menjadi sejarah dan kita akan dipimpin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizammudin Sulaiman berkata sukar untuk menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

"Agak sukar untuk menjangkakannya sekarang, tapi ia tidak mustahil untuk berlaku. Politik bersifat relatif dan ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Jelasnya, isu-isu rakyat terutamanya masalah kenaikan harga minyak, inflasi dan ketidakstabilan politik mendorong isu lompat parti ini terjadi. - Oleh Nurul Ain Hussain / tranungkite.net

Read More...