HANTAR ARTIKEL: Laman web ini dikendalikan dan dimiliki semua rakyat Malaysia. Justeru, sesiapa juga boleh menghantar bahan dalam bentuk analisis, artikel, berita, maklumat, pendapat dan sebagainya. Emailkan kepada nurmarhaen@gmail.com I TERKINI: Sila 'refresh' untuk melihat berita terkini dari semasa ke semasa.

Biar rakyat 'mati kelaparan', asalkan...

Friday, September 26, 2008

(Analisis) Semalam, laman blog ini (http://nurmarhaen.blogspot.com/) membuat analisis mengenai perkembangan mutakhir ekonomi negara dan sikap serta keutamaan pucuk pimpinan tanahair terhadap krisis yang semakin parah itu.

(Teks penuh analisis berkenaan boleh dibaca di sini).

Dalam analisis itu, laman blog terbabit menyifatkan pemimpin negara lebih mengutamakan survival politik mereka berbanding kedudukan ekonomi dan beban yang mungkin ditanggung rakyat akibat krisis yang semakin parah.

Berdasarkan perkembangan semasa, antara lain, analisis itu menyimpullkan:

"...sehingga hari ini pemimpin kerajaan di Malaysia masih banyak menumpukan masa di atas 'papan catur politik'. Perkiraan tempoh peralihan kuasa pemimpin Umno masih menjadi agenda utama."

Dan hari ini, pemimpin veteran Umno sendiri membangkitkan perkara sama. Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan media sebagai berkata:

"Kerjaya politik mereka (Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) kelihatan lebih penting daripada masa depan negara ini."

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga dilaporkan mendakwa, kedua-dua pemimpin negara itu terlalu ghairah dengan perebutan kuasa sehingga mengabaikan aspek perundangan dan kerosakan yang ditimbulkan mereka ke atas negara ini.

Sambil menyifatkan kedua-duanya telah menjadikan Malaysia sebagai 'bahan lawak' masyarakat antarabangsa, sekali gus menjadikan negara ini 'republik pisang' (banana republic), Tengku Razaleigh berkata:

"Bukannya (mereka) menumpukan pada perancangan ekonomi negara atau sebarang reformasi, sebaliknya apa yang kepemimpinan Umno berikan kepada kita sejak (pilihanraya umum) 8 Mac hanyalah pelan peralihan kuasa yang direka untuk menyelamatkan dua orang daripada serba salah menghadapi pemilihan (Umno).

Republik pisang adalah istilah sindiran yang asalnya merujuk kepada perkembangan di Amerikan Latin, iaitu negara yang kurang stabil dan mundur dikuasai segelintir elit korup, kaya dan pentingkan diri sendiri.

Tengku Razaleigh memberi reaksi demikian berikutan keputusan penuh teka-teki Majlis Tertinggi (MT) Umno pagi ini yang secara tiba-tiba memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung parti itu ke tahun depan.

Beliau juga menyifatkan pelan peralihan kuasa terbaru di antara dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai "permainan budak-budak yang tidak habis-habis berebut barang kau dan aku".

Sementara itu, dalam nada hampir sama, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilaporkan menyifatkan Abdullah dan Mohd Najib terlalu mempedulikan "masa depan politik Abdullah dan ketua-ketua juak Umno, yang tidak mempunyai masa atau idea memikirkan pelbagai krisis keyakinan yang dihadapi negara ini sejak 8 Mac lalu.

Dengan perkembangan terbaru itu, tidak mustahil benarlah anggapan banyak pihak, terutama pakatan pembangkang bahawa pemerintah sekarang lebih sanggup membiarkan rakyat 'mati kelaparan' asalkan survival politik mereka tetap terjamin dan mampu dipertahankan. http://nurmarhaen.blogspot.com/

Read More...

Ekonomi makin parah: Pemimpin buat apa?

Thursday, September 25, 2008

(Analisis) Di Amerika Syarikat hari ini, Presidennya, George Bush memberi amaran kepada rakyatnya bahawa 'seluruh ekonomi negara itu kini berada dalam bahaya'.

Bush sengaja mengambil ruang waktu puncak untuk memberi amaran kepada rakyatnya bahawa 'kemelesetan panjang dan menyakitkan' akan berlaku jika Kongres tidak mengambil tindakan cepat.

Beliau juga sudah memanggil kedua-dua calon presiden dari Demokrat dan Republikan - Senator Barack Obama dan Senator John McCain - untuk duduk semeja berbincang bagaimana mendepani dan mengatasi krisis ekonomi itu.

Bush juga merayu rakyatnya menyokong pelan menyelamat (bailout) bernilai RM700 bilion bagi membetulkan semula ekonomi negara itu sambil berjanji untuk benar-benar mengawal bagaimana wang berkenaan digunakan.

Kini ekonomi Amerika Syarikat benar-benar memasuki fasa awal parah. Malah 10 bank di negara itu sedang berdepan dengan masalah kewangan serius - runtuh.

Itu situasi di Amerika Syarikat - kerajaannya cuba sedaya mungkin untuk bertanggungjawab dan menyelamatkan rakyat pembayar cukai. Bagaimana di negara kita - Malaysia?

Sudah tentu tempias ekonomi Amerika Syarikat akan terkena pada ekonomi negara lain, terutama disebabkan pergantungan transaksi menggunakan dolar.

Dan langkah perlu serta berkesan mesti diambil segera bagi mengelak kesan berganda terhadap ekonomi negara penerima.

Namun apa yang pasti, sehingga hari ini pemimpin kerajaan di Malaysia masih banyak menumpukan masa di atas 'papan catur politik'. Perkiraan tempoh peralihan kuasa pemimpin Umno masih menjadi agenda utama. Malah, menurut laporan mutakhir, satu mesyuarat khas Umno dijadual diadakan esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) antara lain mungkin ada kena mengena dengan pelan peralihan kuasa itu.

Kecuali tindakan memindahkan beban pengurusan dan kebertanggungjawaban daripada bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Menteri Kewangan baru, Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak banyak langkah berfungsi dapat dilihat sedang atau sudah diambil untuk memungkinkan pembetulan atau setidak-tidaknya memperlahankan kesan kemelesetan ekonomi dan kewangan negara.

Dan ketika ekonomi Malaysia dipercayai semakin parah, pemimpin dan media pro kerajaan terus mencari dan menyelongkar mana-mana angka yang dapat menunjukkan arah aliran menaik - tidak kira apa juga angka, asalkan ia dapat memberi gambaran bahawa ekonomi Malaysia masih 'ok' dan kononnya 'tidak seburuk digembar-gemburkan'.

Pemimpin dan media pro kerajaan masih terkial-kial cuba untuk memberi gambaran kononnya Malaysia masih lokasi pilihan pelabur sedangkan diura-urakan bahawa nilai pelaburan di Bursa Saham Kuala Lumpur sendiri sudah susut lebih RM100 bilion.

Malah angka lain mendakwa kira-kira RM125 bilion sudah ditarik keluar oleh pelabur dari negara ini kerana tidak yakin dengan program pembaharuan yang diharapkan dibuat pemerintah.

Selain itu, angka peningkatan kadar inflasi, sedapat mungkin cuba disembunyikan atau dikelirukan. Malah makna inflasi itu sendiri, dalam keadaan tertentu, cuba diputarbelitkan sedangkan ada perkiraan ahli ekonomi bahawa setakat hari ini, kadar inflasi di Malaysia adalah terburuk dalam tempoh 27 tahun.

Memang menurut angka rasmi, kadar inflasi negara ini sudah melonjak ke paras 8.5 peratus pada Ogos lalu, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 27 tahun. Ini ada kena mengena dengan peningkatan harga makanan dan bahan api.

Dan ketika kerajaan negara maju seperti Amerika Syarikat sedang menghimpunkan pemimpinnya tanpa mengira parti yang dianggotai, pemerintah di Malaysia masih menunding jari kepada pihak lain, terutama pembangkang kononnya sebagai penyebab dan pengacau ekonomi.

Pemimpin pembangkang, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba disalahkan kononnya punca ekonomi merudum dan pelabur lari sedangkan pelabur sendiri dilaporkan memberi reaksi sebaliknya, iaitu mereka tidak yakin dengan pemerintah Malaysia sekarang; bukan mereka tidak yakin atau terganggu dengan peranan pembangkang!

Kemudian muncul pula beberapa kerat individu pencacai atas nama badan bertindak atau badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis mendesak pemimpin pembangkang berkenaan ditangkap atas alasan menjadi pengacau ekonomi negara.

Isunya ialah, apa yang menjadi keutamaan pemimpin negara sekarang? Mana lebih diutamakan mereka - kesejahteraan ekonomi rakyat atau kesejahteraan politik peribadi? Dengan kata lain, mana lebih diutamakan di antara rasa lapar marhaen tanpa pendapatan tetap dan survival politik pemimpin tertentu? http://nurmarhaen.blogspot.com/

Read More...

Blogger Kickdefella bebas

Saturday, September 20, 2008

(Berita) Blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz (kickdefella) dibebaskan hari ini selepas ditahan polis untuk siasatan selama dua hari.

Sebaik dibebaskan, beliau memberi keterangan pula kepada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau disambut ahli keluarga dan rakan sebaik keluar dari pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID), kira-kira jam 4 petang ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan beliau direman sehingga 5 petang ini.

Syed Azidi, 38, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu mengikut Akta Hasutan pada 17 September.

Read More...

Teresa bebas daripada ISA

Thursday, September 18, 2008

(Berita) Exco Selangor, Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tengah hari ini selepas disiasat kira-kira seminggu.

Beliau dibebaskan di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 tengah hari ini.

Ahli politik berusia 44 tahun itu dilihat keluar dari balai berkenaan bersama ibubapanya dan peguam, Sankara Nair serta pembantu, Mandy Ooi setelah berada di situ kira-kira 40 minit untuk urusan pembebasan.

Read More...

Tangkap blogger: Apa nasib ikan keli nanti...

Wednesday, September 17, 2008

Jika anda mahu menjadi pencari ikan keli, anda mesti bersedia disengat, setidak-tidaknya sekali. Begitu juga jika anda mahu menjadi blogger di Malaysia (saya ulang: di Malaysia), anda mesti bersedia ditahan polis, juga setidak-tidaknya sekali.

Itu hakikat yang mungkin terpaksa ditelan oleh semua blogger di negara ini, terutama yang tidak condong kepada pemerintah.

Namun ini bukan bermakna tindakan pemerintah mengarahkan polis menahan beberapa blogger setakat ini, boleh dirasionalkan begitu sahaja.

Paling terbaru ialah penahanan blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (kickdefella.wordpress.com) di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan, petang semalam.

Lebih mengharukan ialah beliau dilaporkan ditahan ketika hampir masuk waktu berbuka puasa, iaitu kira-kira jam 5 petang. Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak dan isterinya yang sedang bersiap untuk berbuka puasa bersama Syed Azidi, tetapi tiba-tiba beliau 'direnggut dan dibawa pergi'.

Pemerintah mesti ada jawapan yang konkrit - untuk dirasionalkan kepada rakyat dan dunia. Pada mata dunia, apa juga jenis tindakan yang boleh dianggap menghalang aliran maklumat di kalangan rakyat, terutama menerusi internet, akan ditafsirkan sebagai negatif.

Justeru, pemerintah mesti bukan sahaja mendakwa kuat dan diterima rakyat, ia mesti dilihat 'benar-benar mantap dan mendapat sokongan kejap lagi padat'.

Pemerintah yang kuat dan benar-benar diterima rakyat, tidak akan takut terhadap sebarang bentuk kritikan dan asakan.

Saya ulang: Pemerintah mesti ada jawapan yang konkrit - untuk dirasionalkan kepada rakyat dan dunia.

Jika tidak, sebagaimana analogi ikan keli tadi, selepas ia menyengat ikan itu biasanya berjaya ditangkap. Apabila berjaya ditangkap, sengatnya dipatah-patahkan dan ikan keli itu akan digoreng di dalam kuali dengan kepanasan maksimum atau dibakar lalu dicicah dengan 'ayaq (air) asam'. - http://nurmarhaen.blogspot.com/

Read More...