Friday, September 26, 2008
(Analisis) Semalam, laman blog ini (http://nurmarhaen.blogspot.com/) membuat analisis mengenai perkembangan mutakhir ekonomi negara dan sikap serta keutamaan pucuk pimpinan tanahair terhadap krisis yang semakin parah itu.
(Teks penuh analisis berkenaan boleh dibaca di sini).
Dalam analisis itu, laman blog terbabit menyifatkan pemimpin negara lebih mengutamakan survival politik mereka berbanding kedudukan ekonomi dan beban yang mungkin ditanggung rakyat akibat krisis yang semakin parah.
Berdasarkan perkembangan semasa, antara lain, analisis itu menyimpullkan:
"...sehingga hari ini pemimpin kerajaan di Malaysia masih banyak menumpukan masa di atas 'papan catur politik'. Perkiraan tempoh peralihan kuasa pemimpin Umno masih menjadi agenda utama."
Dan hari ini, pemimpin veteran Umno sendiri membangkitkan perkara sama. Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan media sebagai berkata:
"Kerjaya politik mereka (Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) kelihatan lebih penting daripada masa depan negara ini."
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga dilaporkan mendakwa, kedua-dua pemimpin negara itu terlalu ghairah dengan perebutan kuasa sehingga mengabaikan aspek perundangan dan kerosakan yang ditimbulkan mereka ke atas negara ini.
Sambil menyifatkan kedua-duanya telah menjadikan Malaysia sebagai 'bahan lawak' masyarakat antarabangsa, sekali gus menjadikan negara ini 'republik pisang' (banana republic), Tengku Razaleigh berkata:
"Bukannya (mereka) menumpukan pada perancangan ekonomi negara atau sebarang reformasi, sebaliknya apa yang kepemimpinan Umno berikan kepada kita sejak (pilihanraya umum) 8 Mac hanyalah pelan peralihan kuasa yang direka untuk menyelamatkan dua orang daripada serba salah menghadapi pemilihan (Umno).
Republik pisang adalah istilah sindiran yang asalnya merujuk kepada perkembangan di Amerikan Latin, iaitu negara yang kurang stabil dan mundur dikuasai segelintir elit korup, kaya dan pentingkan diri sendiri.
Tengku Razaleigh memberi reaksi demikian berikutan keputusan penuh teka-teki Majlis Tertinggi (MT) Umno pagi ini yang secara tiba-tiba memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung parti itu ke tahun depan.
Beliau juga menyifatkan pelan peralihan kuasa terbaru di antara dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai "permainan budak-budak yang tidak habis-habis berebut barang kau dan aku".
Sementara itu, dalam nada hampir sama, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilaporkan menyifatkan Abdullah dan Mohd Najib terlalu mempedulikan "masa depan politik Abdullah dan ketua-ketua juak Umno, yang tidak mempunyai masa atau idea memikirkan pelbagai krisis keyakinan yang dihadapi negara ini sejak 8 Mac lalu.
Dengan perkembangan terbaru itu, tidak mustahil benarlah anggapan banyak pihak, terutama pakatan pembangkang bahawa pemerintah sekarang lebih sanggup membiarkan rakyat 'mati kelaparan' asalkan survival politik mereka tetap terjamin dan mampu dipertahankan. http://nurmarhaen.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment