HANTAR ARTIKEL: Laman web ini dikendalikan dan dimiliki semua rakyat Malaysia. Justeru, sesiapa juga boleh menghantar bahan dalam bentuk analisis, artikel, berita, maklumat, pendapat dan sebagainya. Emailkan kepada nurmarhaen@gmail.com I TERKINI: Sila 'refresh' untuk melihat berita terkini dari semasa ke semasa.

ISA: Di mana terjejasnya keselamatan negara?

Saturday, September 13, 2008

Tiga warga sah Malaysia, iaitu Raja Petra Kamaruddin (penulis blog Malaysia Today), Theresa Kok (Exco Selangor) dan Tan Hoon Cheng (wartawan Sin Chew Daily) ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

(Ketika analisis ini dikemaskini, Tan sudah dibebaskan).

Alasan yang dimomokkan oleh pemerintah ialah kononnya mereka "boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam".
Mengenai penahanan Raja Petra, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata penahanan itu berikutan pelbagai kenyataan oleh Raja Petra dalam laman blognya, termasuk terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad saw.

Faktanya ialah semua itu tuduhan. Dan tuduhan tidak semestinya benar sehingga ia dibuktikan sebagai benar. Malangnya, dalam konteks ISA, soal benar atau tidak semua tuduhan tidak berbangkit sama sekali. Ini kerana akta itu tidak membabitkan sebarang bentuk perbicaraan - suatu keadaan yang melampaui hukum Tuhan kerana undang-undang Allah swt sendiri pun ada perbicaraan.

Beberapa kedangkalan dalam penggunaan ISA menjadi penyebab bagi banyak pihak, termasuk di peringkat antarabangsa, membantah penahanan itu. Selain Pakatan Rakyat, parti komponen pemerintah turut membantah. MIC menerusi Presidennya, Datuk Seri Samy Vellu meminta wartawan Sin Chew Daily dibebaslkan.

MCA pula menerusi Naib Presidennya, Datuk Ong Tee Keat, melahirkan rasa amat terkejut. Katanya, parti itu terkejut kerana orang yang ditahan ialah wartawan membuat liputan sedangkan individu yang mengeluarkan kenyataan didakwa mengandungi unsur perkauman, iaitu Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail, bebas.

Seperti dilaporkan the Star, Ong berkata, sesiapa juga yang mempunyai pemikiran waras akan mempertikaikan hal ini, kerana penahanan ditujukan kepada wartawan, bukan individu yang dikatakan menimbulkan masalah.

Di luar negara, Amerika Syarikat turut membantah penahanan itu. Pegawai Kedutaan Malaysia di negara itu, Ilango Karuppannan, dipanggil bagi memberi penjelasan.

Menurut laporan AFP, bagi Amerika, kerajaan Malaysia perlu menyediakan layanan dan proses sewajarnya, yang konsisten dengan undang-undang Malaysia dan standard antarabangsa.

Dalam hal ini, ada beberapa persoalan yang perlu dijawab pemerintah. Pertama, jika benar ketiga-tiga individu itu mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam, mengapa mereka tidak dakwa di mahkamah?

Jika benar Raja Petra menghina Islam dan Nabi Muhammad saw, mengapa tidak dakwa beliau di mahkamah? Mengapa pula Ahmad tidak ditahan sedangkan wartawan berkenaan ditahan?

Mengapa ramai lagi individu lain pernah menghina Islam, termasuk pemimpin Umno sendiri yang mempermainkan dan memperlekehkan undang-undang Islam, tidak ditahan sama. Mengapa?

Mungkin benarlah seperti kata Ketua Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Anifah Ahmad, bahawa yang gawat dan kalut sekarang bukan soal peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat seperti dijangka pada 16 September ini, tetapi kegawatan dan kekalutan itu adalah pada Umno sendiri.

Seperti kata Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, bahawa penahanan mengikut ISA itu tidak lebih sebagai satu percubaan pemerintah untuk menggagalkan pengambilalihan tampuk pemerintahan negara oleh Pakatan Rakyat. Malah menurut beliau, penahanan itu juga adalah percubaan untuk menutup pelbagai krisis politik Umno dan kelemahan pentadbiran kerajaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pula kesal kerana penahanan itu dikaitkan kononnya ada hubungan dengan keselamatan dan ketenteraman awam. Beliau secara tegas menafikan, malah mempertikaikan wujudnya sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama di negara ini sekarang sebagaimana didakwa pemerintah.

Sebab itulah ramai beranggapan ISA mungkin sesuai untuk membendung kegawatan dan kekalutan Umno agar tidak lebih parah atau mungkin terus hancur, tetapi akta ini ternyata tidak sesuai dengan tamadun manusia. - nurmarhaen.blogspot.com

0 comments: