HANTAR ARTIKEL: Laman web ini dikendalikan dan dimiliki semua rakyat Malaysia. Justeru, sesiapa juga boleh menghantar bahan dalam bentuk analisis, artikel, berita, maklumat, pendapat dan sebagainya. Emailkan kepada nurmarhaen@gmail.com I TERKINI: Sila 'refresh' untuk melihat berita terkini dari semasa ke semasa.

"Pak Lah, dah lah"

Monday, September 15, 2008

Tinjaulah dari sudut mana sekali pun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno yang paling tidak dipersetujui paling ramai orang.

Beliau bukan sahaja tidak dipersetujui pakatan pembangkang, malah suku-sakatnya sendiri dalam Kabinet, Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Paling terbaru ialah membabitkan isu penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), iaitu Raja Petra Kamaruddin (penulis blog Malaysia Today), Theresa Kok (Exco Selangor) dan Tan Hoon Cheng (wartawan Sin Chew Daily). Tan kemudiannya dibebaskan.

Tindakan penahanan itu tidak dipersetujui anggota Kabinetnya sendiri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membantah penggunaan ISA. Kemuncaknya, petang ini Zaid dikatakan menyerahkan surat peletakan jawatan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik, dalam nada berlapik, turut meminta polis memberi penjelasan mengapa wartawan berkenaan ditahan.

MIC menerusi Presidennya, Datuk Seri Samy Vellu juga meminta wartawan sama dibebaskan.

MCA pula menerusi Naib Presidennya, Datuk Ong Tee Keat mempertikaikan penahanan wartawan berkenaan.

Selain itu, Pak Lah tidak dipersetujui Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri dalam isu peralihan kuasa pucuk pimpinan parti itu.

Pada masa sama, Pak Lah turut tidak dipersetujui bekas bossnya - Tun Dr Mahathir Mohamad - dalam banyak hal.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln menyifatkan bahawa jika seseorang pemimpin tidak dipersetujui suku rakyatnya, itu adalah normal. Tetapi adakah Pak Lah tidak dipersetujui sekadar suku daripada rakyatnya atau lebih daripada itu?

Sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, menerima tentangan dari dalam parti dan Kabinet sendiri adalah amat jarang berlaku. Ia menyanggahi hukum dan tradisi Umno dan BN serta Kabinet.

Persoalannya, apa lagi yang mahu dikejar oleh Pak Lah? Terjumpakah beliau 'damai abadi' sebagaimana diungkapkan di dalam puisinya "Kucari Damai Abadi". Damaikah Pak Lah jika beliau diserang dan tidak dipersetujui dari segenap penjuru?

Berdasarkan itu, sebagai warga sah, penulis mahu membuat 'appeal' dan menyudahkan tulisan ini dengan pantun dua kerat - "Pak Lah, dah lah". - www.nurmarhaen.blogspot.com

0 comments: