Tuesday, September 02, 2008
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menganggap permohonan maaf Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pihak ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang telah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang Cina, tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima.
Beliau memberikan lima sebab mengapa permohonan maaf itu tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima.
Pertama, katanya, Ahmad sendiri tidak memohon maaf dan tidak pun menunjukkan kekesalannya kerana membuat kenyataan tersebut sejak sembilan hari yang lalu.
Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Ahmad bersikap demikian kerana penuh yakin yang beliau mendapat sokongan pemimpin dan ahli arus perdana Umno,
Oleh itu, Lim bertanya sama ada permohonan maaf Najib boleh diterima sedangkan Ahmad sendiri masih berdegil dan tidak kesal dengan perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.
"Walaupun jika Ahmad memohon maaf, akan timbul persoalannya sama ada ianya memadai, memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap ‘Negaraku', kabinet telah menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan.
Oleh itu, Lim mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib itu bermaksud sebagai satu mesej kepada pihak polis dan Peguam Negara supaya jangan mengambil tindakan terhadap Ahmad.
Menurutnya, Najib seharusnya memohon maaf bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak Ahmad , kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang pada 24 Ogos lalu, yang turut dihadiri Najib.
0 comments:
Post a Comment