HANTAR ARTIKEL: Laman web ini dikendalikan dan dimiliki semua rakyat Malaysia. Justeru, sesiapa juga boleh menghantar bahan dalam bentuk analisis, artikel, berita, maklumat, pendapat dan sebagainya. Emailkan kepada nurmarhaen@gmail.com I TERKINI: Sila 'refresh' untuk melihat berita terkini dari semasa ke semasa.

Ekonomi makin parah: Pemimpin buat apa?

Thursday, September 25, 2008

(Analisis) Di Amerika Syarikat hari ini, Presidennya, George Bush memberi amaran kepada rakyatnya bahawa 'seluruh ekonomi negara itu kini berada dalam bahaya'.

Bush sengaja mengambil ruang waktu puncak untuk memberi amaran kepada rakyatnya bahawa 'kemelesetan panjang dan menyakitkan' akan berlaku jika Kongres tidak mengambil tindakan cepat.

Beliau juga sudah memanggil kedua-dua calon presiden dari Demokrat dan Republikan - Senator Barack Obama dan Senator John McCain - untuk duduk semeja berbincang bagaimana mendepani dan mengatasi krisis ekonomi itu.

Bush juga merayu rakyatnya menyokong pelan menyelamat (bailout) bernilai RM700 bilion bagi membetulkan semula ekonomi negara itu sambil berjanji untuk benar-benar mengawal bagaimana wang berkenaan digunakan.

Kini ekonomi Amerika Syarikat benar-benar memasuki fasa awal parah. Malah 10 bank di negara itu sedang berdepan dengan masalah kewangan serius - runtuh.

Itu situasi di Amerika Syarikat - kerajaannya cuba sedaya mungkin untuk bertanggungjawab dan menyelamatkan rakyat pembayar cukai. Bagaimana di negara kita - Malaysia?

Sudah tentu tempias ekonomi Amerika Syarikat akan terkena pada ekonomi negara lain, terutama disebabkan pergantungan transaksi menggunakan dolar.

Dan langkah perlu serta berkesan mesti diambil segera bagi mengelak kesan berganda terhadap ekonomi negara penerima.

Namun apa yang pasti, sehingga hari ini pemimpin kerajaan di Malaysia masih banyak menumpukan masa di atas 'papan catur politik'. Perkiraan tempoh peralihan kuasa pemimpin Umno masih menjadi agenda utama. Malah, menurut laporan mutakhir, satu mesyuarat khas Umno dijadual diadakan esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) antara lain mungkin ada kena mengena dengan pelan peralihan kuasa itu.

Kecuali tindakan memindahkan beban pengurusan dan kebertanggungjawaban daripada bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Menteri Kewangan baru, Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak banyak langkah berfungsi dapat dilihat sedang atau sudah diambil untuk memungkinkan pembetulan atau setidak-tidaknya memperlahankan kesan kemelesetan ekonomi dan kewangan negara.

Dan ketika ekonomi Malaysia dipercayai semakin parah, pemimpin dan media pro kerajaan terus mencari dan menyelongkar mana-mana angka yang dapat menunjukkan arah aliran menaik - tidak kira apa juga angka, asalkan ia dapat memberi gambaran bahawa ekonomi Malaysia masih 'ok' dan kononnya 'tidak seburuk digembar-gemburkan'.

Pemimpin dan media pro kerajaan masih terkial-kial cuba untuk memberi gambaran kononnya Malaysia masih lokasi pilihan pelabur sedangkan diura-urakan bahawa nilai pelaburan di Bursa Saham Kuala Lumpur sendiri sudah susut lebih RM100 bilion.

Malah angka lain mendakwa kira-kira RM125 bilion sudah ditarik keluar oleh pelabur dari negara ini kerana tidak yakin dengan program pembaharuan yang diharapkan dibuat pemerintah.

Selain itu, angka peningkatan kadar inflasi, sedapat mungkin cuba disembunyikan atau dikelirukan. Malah makna inflasi itu sendiri, dalam keadaan tertentu, cuba diputarbelitkan sedangkan ada perkiraan ahli ekonomi bahawa setakat hari ini, kadar inflasi di Malaysia adalah terburuk dalam tempoh 27 tahun.

Memang menurut angka rasmi, kadar inflasi negara ini sudah melonjak ke paras 8.5 peratus pada Ogos lalu, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 27 tahun. Ini ada kena mengena dengan peningkatan harga makanan dan bahan api.

Dan ketika kerajaan negara maju seperti Amerika Syarikat sedang menghimpunkan pemimpinnya tanpa mengira parti yang dianggotai, pemerintah di Malaysia masih menunding jari kepada pihak lain, terutama pembangkang kononnya sebagai penyebab dan pengacau ekonomi.

Pemimpin pembangkang, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba disalahkan kononnya punca ekonomi merudum dan pelabur lari sedangkan pelabur sendiri dilaporkan memberi reaksi sebaliknya, iaitu mereka tidak yakin dengan pemerintah Malaysia sekarang; bukan mereka tidak yakin atau terganggu dengan peranan pembangkang!

Kemudian muncul pula beberapa kerat individu pencacai atas nama badan bertindak atau badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis mendesak pemimpin pembangkang berkenaan ditangkap atas alasan menjadi pengacau ekonomi negara.

Isunya ialah, apa yang menjadi keutamaan pemimpin negara sekarang? Mana lebih diutamakan mereka - kesejahteraan ekonomi rakyat atau kesejahteraan politik peribadi? Dengan kata lain, mana lebih diutamakan di antara rasa lapar marhaen tanpa pendapatan tetap dan survival politik pemimpin tertentu? http://nurmarhaen.blogspot.com/

0 comments: