HANTAR ARTIKEL: Laman web ini dikendalikan dan dimiliki semua rakyat Malaysia. Justeru, sesiapa juga boleh menghantar bahan dalam bentuk analisis, artikel, berita, maklumat, pendapat dan sebagainya. Emailkan kepada nurmarhaen@gmail.com I TERKINI: Sila 'refresh' untuk melihat berita terkini dari semasa ke semasa.

Berita: Mengapa hanya Melayu perlu mohon maaf? - Dr Mahathir

Saturday, September 06, 2008

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa apabila orang Melayu sekarang sering didesak meminta maaf dan dilabelkan sebagai perkauman (racist).

Kekecewaan beliau itu diluahkan menerusi blognya, chedet.com akibat daripada sikap kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri sibuk memohon maaf kepada orang Cina dan India kerana apa yang dikatakan kata-kata yang dianggap sebagai terlalu perkauman yang telah disebut oleh beberapa pemimpin Melayu.

Beliau turut menyelar sikap orang Melayu sekarang yang dikatakan amat takut jika mereka diberi label "racist".

Orang Melayu, kata Dr Mahathir, sanggup menulis dalam akhbar bahawa mereka bukan racist semata-mata kerana tidak mahu dilabel sebagai racist.

"Demikianlah ketakutan mereka sehingga apabila hak mereka di buruk-burukan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri mereka," kata beliau.

Lebih mengecewakan lagi kata beliau, bila permohonan maaf secara terbuka Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi ditolak oleh pemimpin-pemimpin kaum berkenaan dan menuntut agar individu yang dilabelkan perkauman memohon maaf.

Beliau juga menganggap tindakan Kerajaan menghantar seorang Menteri untuk minta maaf daripada Kerajaan China kerana kononnya wanita rakyat negara tersebut telah ditelanjang oleh polis dan direkod dalam video sebagai antara peristiwa yang memalukan.

Beliau menegaskan jika orang bukan Melayu mengeluar perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menununtut supaya pihak berkuasa memohon maaf.

Dr Mahathir juga mempersoalkan memo Hindraf dan perbuatan Wee Meng Chee yang memperlekehkan Negaraku dengan mengguna melodi lagu kebangsaan itu tetapi lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan sebagai sesuatu yang bukan hanya bersifat perkauman tetapi juga bernada hasutan.

Beliau mempersoalkan apakah Wee dan pemimpin Hindraf dikehendaki memohon maaf atas apa yang telah mereka lakukan.

"Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat," kata beliau lagi.

Dr Mahathir turut mempersoalkan sikap kerajaan yang dianggap berat sebelah, menyembunyi kata-kata racist Hindraf tetapi melapor dengan meluas apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu.

"Kenapakah Menteri keturunan India atau ketua-ketua kaum India tidak dikehendaki memohon maaf?" soal beliau.

Beliau secara peribadi berpendapat amatlah tidak adil jika satu pihak mendapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh membuka mulut.

Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa apa yang beliau perkatakan itu bukanlah bermaksud mahu mempertahankan Ketua Umno Bukit Bendera Dato' Ahmad Ismail malah beliau turut tidak bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi hanya meluahkan rasa kecewanya terhadap keupayaan pemimpin Melayu hari ini menguruskan soal kaum di negara ini. - Irwan Muhammad Zain / Harakah Daily

Read More...

Berita: Kerajaan Pulau Pinang tubuh sekolah agama sendiri

Thursday, September 04, 2008

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri itu bercadang menubuhkan sekolah agama rakyat (SAR) sendiri tidak lama lagi di kawasan yang akan dimaklumkan kemudian.

"Kerajaan negeri sedang merancang untuk menubuhkan SAR sendiri tidak lama lagi, namun tempat, berapa buah dan peruntukan akan diberitahu kelak, " katanya.

Bercakap ketika majlis berbuka puasa bersama pemimpin Pas Pulau Pinang di Restoran Kassim Mustaffa di Seberang Jaya, semalam, beliau menjelaskan semua cadangan itu akan diuruskan Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat, Mohamad Fairus Khairudin.

Guang Eng berharap Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman bekerjasama dengan Mohamad Fairus bagi membincangkan penubuhan sekolah berkenaan dan membantu merealisasikan perancangan terbabit.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengembalikan peruntukan kepada SAR yang telah dibatalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Peruntukan itu amat wajar untuk menghidupkan pergerakan persekolahan agama bagi generasi Islam," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bukan seperti BN yang sanggup menghukum SAR kerana percaya kononnya sokongan yang berkurangan terhadap parti pemerintah ada kena mengena dengan kewujudan sekolah jenis berkenaan.

Read More...

(Berita) DAP tolak permohonan maaf Najib

Tuesday, September 02, 2008

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menganggap permohonan maaf Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pihak ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang telah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang Cina, tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima.

Beliau memberikan lima sebab mengapa permohonan maaf itu tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima.

Pertama, katanya, Ahmad sendiri tidak memohon maaf dan tidak pun menunjukkan kekesalannya kerana membuat kenyataan tersebut sejak sembilan hari yang lalu.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Ahmad bersikap demikian kerana penuh yakin yang beliau mendapat sokongan pemimpin dan ahli arus perdana Umno,

Oleh itu, Lim bertanya sama ada permohonan maaf Najib boleh diterima sedangkan Ahmad sendiri masih berdegil dan tidak kesal dengan perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.

"Walaupun jika Ahmad memohon maaf, akan timbul persoalannya sama ada ianya memadai, memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap ‘Negaraku', kabinet telah menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan.

Oleh itu, Lim mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib itu bermaksud sebagai satu mesej kepada pihak polis dan Peguam Negara supaya jangan mengambil tindakan terhadap Ahmad.

Menurutnya, Najib seharusnya memohon maaf bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak Ahmad , kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang pada 24 Ogos lalu, yang turut dihadiri Najib.

Read More...

Berita: Umno minta maaf kenyataan ketua bahagian

KUALA LUMPUR: Umno, tunggak kerajaan Barisan Nasional, mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, bulan lalu.

“Kami berharap orang bukan Melayu tidak terlalu terganggu dengan kenyataan itu dan kami meminta maaf jika ia telah menyentuh sensiviti atau menimbulkan rasa kurang senang berhubung kenyataan itu.

“Kami minta maaf, Umno meminta maaf walaupun ia bukan kenyataan kami tetapi kenyataan itu telah dibuat oleh seorang daripada ketua bahagian kami. Ia tidak wajar dan tidak mencerminkan pendirian dan sikap Umno atau kepemimpinan Umno. Kami benar-benar kesal dengan perkara itu,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Timbalan Presiden Umno di sini hari ini.

Menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad Ismail pada satu ceramah didakwa berkata, masyarakat Cina hanyalah kaum pendatang di negara ini dan dengan itu tidak berhak diberikan hak sama rata di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan Multi Purpose Chery, Najib berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuaratnya akan datang akan memutuskan 'tindakan sesuai' yang akan diambil terhadap ketua bahagian itu.

“Kenyataan itu adalah kenyataan dia secara perbadi dan tidak merupakan pendirian umno dan kerajaan. Kita tidak menganggap warganegara Malaysia keturunan Cina, India dan lain-lain sebagai penumpang.

“Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sepenuhnya dan kita akan tetap menjaga kepentingan mereka dan maruah mereka dan saya sifatkan kenyataan itu sebagai satu yang amat dikesali oleh Umno dan kerajaan,” katanya. - Bernama

Read More...

Analisis: 16 September tidak mustahil

PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik yang dihubungi beranggapan tidak mustahil untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk kerajaan Persekutuan yang baru menjelang 16 September ini.

Menurut pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein dalam politik tidak ada apa yang mustahil.

Ketika ditanya adakah beliau yakin dengan usaha Anwar itu, beliau berkata:

“Tiada istilah mustahil dalam politik. Mungkin juga apa yang diperkatakan Anwar itu menjadi kenyataan. Namun semuanya bergantung kepada keadaan politik semasa.”

Jelasnya, perkara lompat parti itu mungkin mampun menjadi kenyataan kerana ahli politik adalah manusia dan mereka mempunyai pilihan untuk mencari yang terbaik.

“Kita kena ingat ahli politik ini manusia bukannya benda yang tidak punya keinginan untuk mendapat perkara yang terbaik,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Sementara itu, menurut pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku walaupun beliau ragu-ragu mengenai kemungkinannya.

“Ia tidak mustahil... mungkin faktor masa akan menentukan sama ada ia benar-benar terjadi atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, isu lompat parti ini bergantung kepada keadaan politik semasa dan jika benar ia terjadi rakyat perlu bersedia meneriman perubahan.

“Mungkin Barisan Nasional hanya akan menjadi sejarah dan kita akan dipimpin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizammudin Sulaiman berkata sukar untuk menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

"Agak sukar untuk menjangkakannya sekarang, tapi ia tidak mustahil untuk berlaku. Politik bersifat relatif dan ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Jelasnya, isu-isu rakyat terutamanya masalah kenaikan harga minyak, inflasi dan ketidakstabilan politik mendorong isu lompat parti ini terjadi. - Oleh Nurul Ain Hussain / tranungkite.net

Read More...